Friday, August 7, 2009

Bacaan Mentalis / akaliah

Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Membaca mentalis ialah kunci bagi segala ilmu pengetahuan. Membaca mentalis merupakan aktiviti membaca yang dapat menguasai sebahagian besar hidup kita. Dibandingkan dengan membaca nyaring, dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Ketika kegiatan membaca dilakukan, orang lain tidak terganggu.

Dalam kehidupan yang sebenar, setiap anggota masyarakat membaca bahan-bahan yang sesuai dengan selera dan pilihan masing-masing. Ini dilakukan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Membaca secara perseorangan menuntut selera masing-masing dan ini disebut sebagai personalized reading. Pengajaran membaca seperti ini merupakan satu falsafah pengajaran yang melibatkan satu pendekatan terhadap organisasi kelas. Berdasarkan konsep bahawa setiap kanak-kanak harus mencari, memilih, melangkah dan maju sendiri, program membaca perseorangan adalah satu strategi yang amat menarik. Hal ini dipercayai dapat memenuhi keperluan individu tersebut secara berkesan.

Biasanya, membaca dalam hati atau membaca senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca intensif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.

Oleh itu, bacaan mentalis ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukarkan isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan mentalis lebih pantas daripada bacaan mekanis kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan mekanis seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan mentalis. Bacaan mentalis ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan mekanis.


Tujuan

(a) Untuk melatih murid-murid supaya boleh membaca dengan sendiri.

(b) Untuk melatih murid-murid supaya boleh membaca dan memahami apa yang dibacanya,

(c) Untuk melatih murid-murid membaca senyap dengan pantas.

(d) Dapat menggunakan kemahiran membaca senyap untuk mendapatkan pengetahuan.

(e) Dapat menggunakan kemahiran membaca mentalis untuk hiburan.


Aktiviti bacaan mentalis

(a) Bacaan ini adalah bacaan untuk kefahaman.

(b) Bahan-bahan yang diajar mestilah berperingkat-peringkat daripada bahan-bahan yang sedikit dan senang kepada bahan-bahan yang banyak dan susah.

(c) Guru memberi dan menentukan bahan bacaan. Semasa pelajaran dijalankan guru membantu dan memandu murid-murid yang lemah.

(d) Guru bersoal jawab dan membincangkan perkataan dan rangkai kata yang susah.

No comments:

Post a Comment