Saya perlu mendahulukan cerpen ini,
sebagai response saya kepada filem Innocence Muslim.
Cerpen Bila Kamu Menghina Rasulullah Aku.
Semoga ada manfaatnya di dalam cerpen ini.
Enjoy!
Aku terdengar kekecohan itu. Seperti dunia sedang bergegar
dan gunung ganang menangis. Aku melihat dari jendela kesibukan hidupku. Rupanya
kekasihku dihina lagi yang entah buat kali ke berapa. Dan ummat baginda menjadi
marah, lantas timbul kekecohan di sini dan di situ.
Aku menghela nafas. Sebak itu wujud.
Menutup mata. Aku dapat rasa ada cecair sejuk mengalir pada
pipi di bawah mata.
Aku terkilan dengan kedua-duanya. Kepada yang membina video
itu dan kepada yang merosakkan wajah Islam dengan sikap mereka.
Aku lantas melihat semula ke belakang. Kepada susuk tubuh
itu yang kini abadi di atas helaian-helaian kertas di dalam kitab-kitab
mukhtabar. Berusaha untuk mencari sesuatu.
Buat mereka yang menghina Rasulullah SAW aku itu.
Dan buat mereka yang berakhlak buruk, dalam mempertahankan
Rasulullah SAW aku itu.
********
Baginda kelihatan tersangat letih. Dengan darah yang menjadi
warna tubuhnya ketika itu. Luka-luka menghiasi diri. Di sisinya Zaid bin
Harithah berusaha memberikan yang terbaik kepada tubuh suci itu, tanpa
menghiraukan dirinya yang turut luka-luka hasil jamahan batu-batu dari penduduk
Ta’if.
Ketika itulah baginda berdoa kepada Allah SWT. Menyatakan
akan usahanya, dan memohon ampun jika ini semua berlaku kerana kelemahannya.
Menyatakan betapa lemahnya baginda, dan kepadaNya sahaja tempat baginda mampu
bergantung harap.
Meruntun dunia mendengar doa itu, hingga malaikat turun
memberikan tawaran. Jika mahu, gunung di Ta’if itu akan diangkat lalu dengannya
Kaum di Ta’if itu dihancurkan. Namun di tengah luka dan kepedihan, di tengah
kesedihan dan ketidak upayaan, Rasulullah SAW aku itu berkata:
“Jangan, moga daripada mereka, akan lahir orang-orang yang
beriman kepadaNya.”
Aku yang tidak berada di sana, namun berdiri di tempat itu
dengan dihubungkan helaian-helaian Sirah itu pada hujung jemariku, menangis.
Inilah Muhammad SAW yang dibenci itu.
Mengapa ini tidak diceritakan di dalam cerita mereka itu?
Mengapa ini tidak dicontohi oleh mereka yang mahu
mempertahankan baginda itu?
*******
Baginda ketika itu dalam saat yang genting. Manusia-manusia
rakus dari kumpulan kaafir Quraisy sedang berlumba untuk menamatkan nyawa
baginda. Barisan tentera Muslimin di Medan Uhud yang hancur akibat ketidak
patuhan sebahagian tentera, membuatkan tentera-tentera musuh berjaya menerobos
ke benteng terakhir. Semua dahagakan darah baginda.
Yang ada di sisi baginda pada saat cemas itu hanyalah Sa’ad
bin Abi Waqqas dan Talhah bin Ubaidillah. Mempertahankan Rasulullah SAW dengan
segala kemampuan yang mereka ada, sebelum para sahabat yang lain tiba.
Ketika itu Ibn Qami’ah dari pasukan lawan berjaya menerobos
dan melandaskan pukulan. Bahu baginda menjadi mangsa, dan kemudiannya pipi
baginda. Hingga tali pengikat keledar besi yang dipakai baginda, terperusuk
masuk ke pipi baginda. Beberapa batang gigi baginda patah, dan mengalirlah
kemudiannya darah. Hingga baginda menakung dengan tangan suci baginda darah
itu.
Saat ini, apa yang keluar daripada mulut baginda?
“Wahai Tuhanku, ampunkanlah kaumku itu, sesungguhnya mereka
tidak mengetahui.”
Dan bersegeralah Abu Ubaidah yang telah sampai berusaha
mencabut tali pengikat keledar itu, hingga giginya pula yang tercabut. Datang
pula Abu Talhah, Abdurrahman bin Auf dan Abu Bakr mempertahankan baginda dan
memukul musuh agar meninggalkan kawasan itu.
Suasana itu sangat mengharukan. Aku tidak berada di sana.
Namun aku seakan wujud di sana. Bergetar hati ini ‘melihat’ suasana itu.
Mengapa ini tidak pula diceritakan?
Dan mengapa sikap itu tidak pula menjadi contohan?
*******
Kelihatan baginda mesra berlumba lari dengan Aisyah yang
dicintainya. Kelihatan baginda menyantuni isteri-isteri baginda di rumah.
Kepada Hafsah, kepada Ummu Salamah, kepada Zainab binti Jahsy dan lain-lain
dari Ummahatul Mukminin, baginda mengasihi semuanya. Bahkan masih memuji dan
mengingati isteri pertamanya Khadijah dengan penuh kasih dan cinta.
Seorang yang walaupun sibuk menerima tentangan, peperangan,
memberikan penyampaian, keluar memerhatikan sahabat dan rakan, tetap pulang ke
rumah dalam keadaan yang tidak membawa tekanan dan masih ada masa bermesra
dengan isteri dan anak-anak baginda, membantu menguruskan hal ehwal
rumahtangga.
Bagindalah juga yang menunjukkan contoh yang cantik kepada
isteri-isteri baginda. Kala roti yang dibawa oleh Aisyah terjatuh, baginda
adalah yang mengutipnya, meniupnya, dan memakannya. Tiada pembaziran di sisi
baginda. Kala Aisyah cemburu kepada madunya Zainab, hingga menampar hidangan
yang datang daripadanya, baginda adalah yang tenang dan sekadar lembut mengajak
Aisyah mengutipnya semula, meminta Aisyah menghantarkan hidangan balas buat
madunya.
Jika benarlah tubuh yang suci itu merupakan seorang yang
gila seks, merupakan seorang yang sukakan seks dengan kanak-kanak, melakukan
penderaan seksual, maka mengapa isteri-isterinya bahagia dan kemudian menjadi
antara paksi penyebaran ajaran yang dibawa oleh baginda?
Baginda adalah yang mengangkat hak para wanita, para isteri,
yang selama ini dianggap sekadar tempat melempiaskan nafsu dan melakukan
kerja-kerja seperti hamba. Baginda adalah yang memuliakan para wanita dan
menghormati baginda. Tiada baginda membentak isterinya kala makanan tiada,
tiada pula baginda adalah yang bising kala makanan tidak kena dengan seleranya.
Maka mengapa itu semua tidak diceritakan?
Dan mengapa, dari kalangan ummat baginda, yang mengaku
beriman dengan baginda, tidak mencontohi keadilan ini kepada wanita mereka?
Aku tidak berada di sana, tidak wujud kala baginda wujud,
namun aku sentiasa tidak pernah gagal merasa hidup dengan kehidupan baginda.
Kutekap buku sirah yang berhubung dengan tanganku ke wajah, kalaulah dari
tulisan-tulisan itu dapat kuhidu haruman tubuh baginda.
Air mata ini mengalir.
*******
Apakah orang ramai mengenali Abdullah ibn Ubai ibn Salul?
Kepala munafiq. Antara yang menyebarkan cerita fitnah akan kecurangan Aisyah
RH. Antara yang membuatkan 300 orang dari 1,000 orang tentera Uhud berpatah semula
ke Madinah. Antara yang berkata di kalangan orang ramai tanpa segan silu bahawa
dia akan menghalau Muhammad keluar dari Madinah.
Hingga Umar RA yang terkenal pantas melindungi baginda ingin
memenggal kepala celaka itu. Tetapi apa yang Rasulullah SAW lakukan?
Dihalangnya Umar, dan berkata:
“Apakah engkau ingin nanti manusia berkata, bahawa Muhammad
membunuh saudaranya?”
Dan kala Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini mati, baginda
dengan penuh kasih, ingin melaksanakan Solat Jenazah kepadanya dan mendoakan kebaikan
buatnya. Tetapi Allah SWT sendiri menghalang baginda. Hingga turun ayat:
“Kamu memohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu
mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). Kendati pun kamu memohonkan
ampun bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi
ampun kepada mereka. Yang demikian itu adalah karena mereka kafir kepada Allah
dan Rasul-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” Surah
At-Tawbah ayat 80.
Tetapi kasihnya baginda, baginda berkata: “Maka aku akan
memohon ampun buatnya lebih dari 70 kali.”
Dan kemudiannya Allah memberikan penegasan akan maksud ayat
tadi:
“Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah)
seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya.
Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati
dalam keadaan fasik.” Surah At-Tawbah ayat 84.
Membuatkan Rasulullah SAW memahami bahawa memang tiada
keampunan, buat yang mati tanpa bertaubat dari dosa-dosanya.
Namun kasihnya Rasulullah SAW itu terpancar pada tindakannya
ketika itu. Walau Abdullah ibn Ubai Ibn Salul itu kerjanya hanyalah untuk
melukakan baginda dari hari ke hari. Dari masa ke masa. Dari waktu ke waktu.
Tetapi lihatlah bagaimana Rasulullah SAW melayannya. Berusaha hingga ke
akhirnya agar seluruh ummatnya masuk ke dalam syurgaNya.
Mengapa ini tidak diceritakan oleh mereka?
Mengapa keindahan dan kecantikan sikap ini tidak pula
dicontohi oleh mereka yang ingin mempertahankan baginda?
Aku tidak berada di sana. Tetapi kisah-kisah ini hidup
bersama diri. Aku sentiasa mencari di mana semua ini dalam kehidupan hari ini,
terutama di dalam diri.
Di manakah baginda yang dikatakan kita cinta itu, di dalam
kehidupan kita ini?
********
Kala tentera berzirah lengkap itu bergerak dari empat
penjuru Makkah, menggegarkan kota suci itu dengan derap kaki dan tunggangan,
semua yang wujud di dalam kota itu bergetaran. Bermain semula segala seksaan,
hinaan, usaha untuk pembunuhan, kempen untuk peperangan, yang mereka laksanakan
ke atas Rasulullah SAW.
Semua masuk ke rumah masing-masing, ada yang bersembunyi di
Masjidil Haram, dan Abu Sufyan bersembunyi bersama keluarganya di dalam rumah.
Kerana Rasulullah SAW yang mulia itu sebelum datang bersama 10,000 tenteranya,
telah mengembalikan Abu Sufyan ke Makkah dengan mesej penuh kemanusiaan:
“Barangsiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, dia akan
selamat. Barangsiapa yang masuk ke rumah masing-masing, dia akan selamat.
Barangsiapa yang masuk ke dalam masjid, dia akan selamat.”
Dan kemudian pecahlah panggilan agar semua berkumpul di
sekitar Rasulullah SAW. Ada mata-mata yang sempat melihat bagaimana baginda
masuk dengan menungganginya untanya. Tidak pula tubuh mulia itu mendabik dada
pada hari dia sepatutnya melaksanakan sedemikian. Bahkan tubuh mulia itu
menunduk, hingga kepalanya hampir menyentuh belakang untanya. Mulut terkumat
kamit merendahkan diri baginda kepada Yang Esa atas kejayaannya.
Kala seluruh Makkah senyap hendak menerima keputusannya,
baginda yang mulia itu bertanya:
“Sangkaan kamu, apakah yang aku akan lakukan?”
Berkatalah yang hampir dengan baginda:
“Kami mengenalimu sebagai orang yang baik, maka kami yakin
engkau akan melakukan kepada kami yang baik-baik sahaja.”
Tersenyum baginda ketika itu, dan kemudian baginda yang
pernah diseksa, dihina, diusahakan untuk dibunuh oleh penduduk Makkah itu
berkata:
“Pada hari ini, aku berkata kepada kalian sebagaimana Yusuf
berkata kepada saudara maranya: Pada hari ini tiada cercaan buat kalian,
moga-moga Allah mengampuni kalian dan Dia itu adalah Yang Maha Penyayang dari
kalangan Penyayang(Surah Yusuf ayat 92)”
Ya. Aku tidak wujud pada hari itu. Tiada di sana ketika itu.
Namun aku dapat merasa getaran kasihnya baginda. Bagaimana seorang gila darah
dan peperangan boleh melaksanakan tindakan sedemikian rupa? Bagaimana seorang
gila seks mampu berakhlak sebegitu rupa?
Mengapa ini tidak diceritakan oleh mereka?
*******
Mereka menghina susuk tubuh suci itu, tanpa menyedari betapa
baginda mengasihi akhi-akhi dari kalangan para Nabi. Sering dididik kepada
ummat baginda, bahawa Musa itu saudaranya, bahawa Isa itu saudaranya.
Mereka menghina susuk tubuh suci itu, tanpa pernah ambil
peduli betapa baginda sering berpesan kepada tenteranya agar tidak mencantas
pokok sesuka hati, agar tidak menganggu orang yang berada di dalam rumah dan
rumah-rumah ibadat. Sejarah sendiri mengakui betapa Salahuddin Al-Ayubi adalah
bukti kepada indahnya ajaran baginda ini, menakhluk Baitul Maqdis dengan aman
menyantuni ahli-ahlinya, sedang penakhluk Baitul Maqdis dari kalangan Tentera
Salib menumpahkan darah hingga ke paras lutut kuda.
Kadangkala aku menjadi amat hairan dengan bagaimana mereka
mempermainkan susuk tubuh mulia ini. Dikatakan kalau betul lelaki suci ini
baik, maka mengapa ummat Islam ada yang melakukan keganasan.
Ya. Aku hairan apabila muslim melakukan kesalahan, yang
disalahkannya adalah Islam.
Aku ingin bertanya, akan nuklear yang diturunkan ke
Hiroshima dan Nagasaki. Apakah itu ajaran Injil? Apakah agama Kristian
bersalah?
Aku ingin bertanya akan pengambilan Palestin dan penubuhan
tanah haram Israel, pembunuhan demi pembunuhan di sana, kezaliman demi
kezaliman di sana, apakah itu ajaran di dalam Taurat? Apakah boleh aku mahu
menghina agama Yahudi akan kesilapan ini?
Islam dipersalahkan atas perlakuan Muslim, maka apakah
mereka ini boleh menerima jika aku menyalahkan Kristian atas perbuatan
penganutnya, dan Yahudi atas perbuatan penganutnya?
Pastinya atas dasar hak asasi manusia, kamu akan bising dan
memarahi aku. Tetapi lihatlah kamu!
Saban waktu tanpa segan mereka menghina Rasulullah SAW,
Islam, keEsaan dan keSucian Allah SWT, tanpa kajian dan pemerhatian yang
menyeluruh. Gila seks, gila darah, itu sahaja tomahan mereka. Tomahan demi
tomahan yang tidak langsung dilihat oleh mereka sisi-sisi lain kehidupan
baginda.
Bagaimana baginda melayani cucu-cucunya yang bermain di
atasnya kala dia sedang solat.
Bagaimana baginda bergurau bermesra dengan perempuan yang
lebih tua, bertaraf nenek.
Bagaimana baginda duduk dengan orang-orang miskin sehingga
yang datang melihat tidak mampu membezakan baginda dengan mereka.
Bagaimana amanahnya baginda, bagaimana belas kasihannya
baginda dalam menjatuhkan hukuman, bagaimana bencinya baginda dengan kezaliman.
Mengapa ini semua tidak diungkit dan diangkat?
Dan yang buat aku lebih hairan, mengapa ini semua tidak
dicontohi dengan baik oleh mereka yang mengaku mempertahankan baginda?
********
Aku membuka mata. Keluar dari lautan imbasan. Kuletakkan
kitab-kitab yang menceritakan susuk indah itu, dan kuhela nafas.
Rasulullah SAW aku itu, yang mulia dan cantik peribadinya
itu, tidak pernah membunuh orang yang tidak sepatutnya dibunuh. Jika ada yang
bersalah, maka yang bersalah sahaja menerima hukumnya. Di dalam Islam, tidak
diajar bahawa anak mewarisi dosa ibu bapanya, orang lain mewarisi dosa orang
lain.
Maka tiada di dalam akhlak Islam, tiba-tiba dibom bangunan,
dibunuh orang yang tidak berdosa, atas kesilapan dan kerosakan yang dilakukan
oleh orang lain kepada Islam kita.
Namun di sebelah pihak sana, tidakkah intelektual yang
dicanangkan wujud pada diri mereka ini tidak terfikir, siapalah yang tidak
marah dan terganggu emosinya kala orang yang dikasihinya melebihi diri sendiri
dihina?
Justeru, mengapa mula mencari fasal?
Apakah tidak cukup sebelum-sebelum ini segala video yang
menghina tatacara kehidupan Islam, Rasulullah SAW, bahkan Allah SWT sendiri
dihina dengan rakus? Tidak cukupkah?
Dan kepada saudara maraku, entah aku fikir berapa kali kita
menerima provokasi sebegini. Tidak kita belajarkah? Memang mereka sengaja mahu
buat kita marah dan kemudian beraksi sebagaimana aksi-aksi yang tidak
sepatutnya, agar perjalanan dan perjuangan mereka untuk memburukkan nama Islam
menjadi lebih mudah.
Aku sentiasa berfikir bagaimana hendak mengubah suasana ini.
Lantas akhirnya aku tengok diriku.
Hei, kenapa aku masih duduk di sini?
Lantas aku berdiri, bergerak melaksanakan kerja-kerja.
Telefon pintarku kuangkat, Umar Mita sahabat karibku,
videografer dan fotografer yang pakar, kudail nombornya.
“Assalamu’alaikum Umar, jom buat video. Nabi kita dihina.
Kita pulangkan sesuatu kepada mereka, dengan cara yang selayaknya.”
Kemudian aku buka komputerku, kulihat pada laman sosial yang
aku sertai, ternampak Ameen Misran sahabatku, hebat berpuisi di dalam Bahasa
Inggeris. Lantas aku hantarkan mesej:
“Ameen, buat satu poem, tunjukkan kecintaan kepada
Rasulullah SAW. Ada orang menghina Nabi kita. Mari kita pulangkan sesuatu
kepada mereka, dengan cara yang selayaknya.”
Kemudian aku terlihat saudara seIslamku dari eropah telah
membuat puisi yang hebat, dengan rasa gembira aku share.
Aku teringat akan sahabatku Uzair yang merupakan seorang
pelajar agama yang cerdik, lantas aku hubungi dia: “Uzair, ada orang hina Nabi
kita. Tulislah artikel, nota, untuk kita ulas isu ini sebaiknya.”
Aku yang ada kebolehan menulis cerita, menulis sedikit
cerita.
Kemudian selesai, aku keluar dari rumah. Menyantuni
masyarakatku seperti biasa. Memanggil ahli-ahli usrahku berkumpul, duduk di
dalam bulatan bagi membersihkan fikrah kami, kemudian berdiskusi akan hal ini.
“Dakwah itu perlu digencarkan lagi. Sampaikan keindahan
Islam, dan membentuk lagi peribadi-peribadi yang indah bagi menjadi duta kepada
Islam buat masyarakat. Hingga sampai satu saat kita mampu membina sistem kita
sendiri, dan merobohkan sistem yang rosak ini. Mengangkat keadilan dan membasmi
kezaliman. Agar lebih ramai lagi mencintai deen ini, Tuhannya, dan Rasulnya.”
Ya. Itu respon aku.
Dan aku berharap nanti, Allah pertemukan aku dengan
kekasihku yang dihina itu.
Aku mahu mampu berkata di hadapan baginda nanti:
“Sesungguhnya aku telah membelamu, dengan akhlakmu wahai
kekasihku.”
Ya. Inilah yang aku akan lakukan, bila kamu menghina
Rasulullah aku.
sumber: http://langitilahi.com/9887
Saudara Hilal Asyraf ni merupakan salah seorang writer yg aku suka baca apa yg dia tulis selain Hlovate yg karya2nya ringa & selamba serta beliau berdakwah dalam novel2nya... Tulisan Ustazah Fatimah Syarha & Dr Farhan Hadi sentiasa menjadi bacaan aku... Aku suka membaca.. Tidak semestinya, kita tak ikut serta kita tak tahu... Don't judge the book by its cover...Aku paling tak suka dipaksa @ memaksa dlm konteks KETERPAKSAAN... Jadi moga kita menjadi umat-NYA yg soleh & solehah...amin
No comments:
Post a Comment