Showing posts with label credit to botol kosong. Show all posts
Showing posts with label credit to botol kosong. Show all posts

Sunday, August 1, 2010

C.I.N.T.A.


Cinta

Ia yang ingin dilihat
Ia yang ingin dinampak
Ia yang ingin didengar...
Ia yang ingin di taat
Ia yang dimaksud keredhaan
Ia yang dituntut yang Maha Esa dan ia yang segala-galanya
Jika engkau tidak dapat tenggelam dalam lautan cinta di atas (merasainya), memadailah engkau mengetahui cinta pada zat yang Esa yang Maha Mulia dan Suci kerana itu adalah lebih baik bagi dirimu. (Hukamak)

Bukahkah hidup di dunia ini penderitaan? Bagi orang yang beriman, yang dilekati hatinya kalimah Tuhan. Hidup ini biarlah dugaan datang bertimpa-timpa tiada penghujungya, namun semangatnya tidak pudar, jiwanya kuat meneruskan kehidupan, kerana baginya apalah sangat ujian dan mehnah yang mendatang, semuanya itu adalah nikmat baginya untuk terus ia bersyukur. Ia telah faham di tempat persinggahan yang sebentar itu ia tidak akan berlama-lama. Biar hati terhimpit, remuk redam, menanggung kekejaman dunia yang berlalu di hadapannya. Terkadang disapa keburukan teman, disentuh fitnah, terkadang terbakar juga jiwa kerdil dengan anasir-anasir jahat yang silih berganti datang tidak henti-henti.

Cinta... alangkah kalimah inilah yang selalu bermain di bibir ketika muda. Antara hubungan dengan manusia ia sebenarnya memberikan kekuatan dalam hidup, semangat akan mekar, jiwa akan teguh kerana cinta memberi dokongan dalam hidup, Ia sentiasa memberikan hari-hari baru. Tanpa cinta dan kasih sayang tumbuhlah pohon kebencian merosakkan setiap inci kehidupan manusia. Terbit permusuhan, sifat-sifat mazmumah, bukan senang mencari perdamaian bila hembusan syaitan sudah mula menjadi kuat meniup di dalam hati.

Teman.. memang sebenarnya manusia perlukan teman di dalam hidup, teman suka duka. Dengan kasih sayang dan cinta untuk menuju kepada Tuhan sepatutnya ia menyuburkan sifat dan akhlak mulia. Semakin bersungguh untuk melakukan kebajikan sebab ia diteguhkan dengan kata-kata nasihat. Semuanya ini hanya boleh didapati dengan cinta dan kasih sayang sesama mukmin yang tidak ingin melihat saudaranya tenggelam terus dalam ombak buas dunia. Sayangnya.. kerana cinta juga manusia tersungkur, malah ada yang tertewas di dalam jihad dakwah. Jiwannya melemah, semakin hari ia jauh dari Allah, jika dahulu zikirlah yang selalu terdetik di hati, jika dahulu dialah yang selalu mengungkap kalimah yang hak, jika dahulu dialah orang yang pertama-tamanya maju ke hadapan untuk membuat kebaikan.

Kini ia mengasingkan diri kerana cinta, kini hatinya telah disibukkan dengan sesuatu yang lebih penting katanya. Ia meninggalkan rakan-rakan yang baik, melepas diri dari kawan-kawan yang perlukan pertolongannya. Tiba suatu hari, ia datang membawa sekujur tubuh yang lesu longlai. Air matanya bergenang, meleleh di pipi sambil mata sayu untuk datang kembali semula kepada rakan-rakan karib….ia menceritakan nasibnya yang malang. Cinta yang dahulu dikata suci, yang dahulunya mekar telah ditolak mentah, jiwanya telah terkorban kerana cinta nafsu. Ia ingin kembali semula mohon diubati hatinya.

Mujur umur dan nafasnya masih ada, maka ia dipimpin dan dibantu kawan-kawan yang dahulunya telah ditinggalkan. Di sini semangatnya kembali hadir setelah mengenal di mana keutamaan cinta. Sebelumnya ia culas, kini semakin hebat pergantungannyna kepada Allah, kerap benarlah ia menangisi di hadapan Allah akan kesilapan yang telah lalu. Menyesali jalan hidup sendiri kerana tiap detik dahulunya tidak digunakan sebaiknya. Ia benar-benar merasakan dirinya telah rugi dan kini ia ingin memperbaiki dirinya. Cintanya kini hanya satu diletakkan paling atas, hanya untuk Tuhan dan kedua kepada RasulNya. Kepada makhluk lain diubah hanya terbatas kepada kasih sayang.

Apakah cinta itu wahai tuan? Teman? Sahabat? Kawan? Rakan? Tekadang ia dijawab dengan senyuman dan perkataan yang lancar (faham benarlah ia apa maksud cinta), atau terkadang hanya dengan keluhan berat, terkadang dijawab dengan berpaling, lama ia berfikir dan diam sahaja menjadi jawapan. Dan mungkin juga ia terjawab dengan air jernih yang mengalir perlahan dari kolam mata menunjukkan betapa beratnya kalimah cinta yang ditanggungnya itu....

Cinta itu tuan, adalah bicara hati tulus yang tergambar pada akhlak dan kelakuan untuk sama-sama dikongsi. Cinta tidak kenal sempadan, jarak, keturunan, warna kulit, cantik atau hodohnya, kaya atau miskinnya, sempurna atau cacatnya, sipandai dengan sibodoh. Bukan ia pemilik individu, bukan pula hanya untuk dua hati.

Cinta itu membawa kemuliaan budi, cinta pada saudaranya yang seIslam. Bila cinta suci kerana Allah, walau dari jauh akan terdengar juga bisikannya. Cinta pada kebenaran, cinta pada kebaikan, cinta pada ilmu, cinta pada jihad,. Lihatlah keluasan cinta itu dan pastinya cinta yang paling hebat adalah dengan Rabbul ’Alaminn... dan diri ini juga tertanya siapa pula yang benar-benar ikhlas menyintai Allah dan RasulNya....

Musafir^Lalu

7 Muharam 1427 Hijrah

selawat~

Cinta AGUNG, Cinta PERTENGAHAN & Cinta HINA


Bismillahirahmaanirahim,

Cinta adalah perasaan jiwa & tarikan hati. Ia adalah fitrah. Islam mengiktiraf fitrah ini & menggariskan 3 peringkat Cinta, iaitu:...

Cinta AGUNG, Cinta PERTENGAHAN & Cinta HINA

“Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”

[At-Taubah:24]

CINTA paling AGUNG sudah tentu Cinta kepada-Nya, Allah Ta’ala, Rasul & jihad di jalan-Nya. Tiada Cinta yang boleh menyamai kedudukan Cinta ini. Seterusnya, CINTA PERTENGAHAN ialah Cinta yang terhasil daripada ikatan seseorang yang dikasihinya samada dengan ikatan akidah, ikatan keturunan, kekeluargaan, kaum kerabat, perkahwinan atau persaudaraan. Manakala CINTA HINA pula ialah Cintakan taghut, syaitan musuh-musuh-Nya, hawa nafsu, syahwat & mengutamakan kasih terhadap ibubapa, anak-anak, isteri, keluarga, perniagaan & kasihkan negara melebihi kasih & cintakan Allah Ta’ala, Rasul & jihad di jalan-Nya.

Sebenarnya dalam Islam tidak ada langsung istilah Cinta bagi mereka yang masih belum ada ikatan perkahwinan. Lihatlah 3 peringkat Cinta yang digariskan, adakah Islam mengiktirafkan Cinta kepada teman lelaki. Hatta, Cinta kepada tunang pun tidak diiktiraf inikan pula kepada teman lelaki. Bagaimana kita boleh menganalisis ciri-ciri pasangan yang bercinta kerana-Nya jika istilahnya pun tidak diiktiraf? Ingat, hal ini berbeza dengan dua orang insan yang saling jatuh Cinta kerana-Nya & menahan diri daripada asyik bercinta sehinggalah syariat menghalalkannya. Cinta yang hakiki adalah mencintai-Nya, kemudian Rasul-Nya, kemudian barulah selain mereka.

Ini adalah karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan (Al-Islam wa Al-Hubb):

“Kadang-kadang manusia tersalah menganggap Cintanya kerana-Nya padahal percintaannya menyebabkan makhluk-Nya lebih diagungkan daripada pencipta makhluk-Nya itu sendiri. Allah Ta’ala diketepikan. Mungkin matlamat dah betul dan jelas, tapi jalannya tidak cocok dengan syariat. Itulah yang disedihkan. Dalam Islam ada beberapa perkara yang perlu disegerakan.

1. Apabila solat telah masuk waktunya.
2. Apabila jenazah untuk dikebumikan.
3. Apabila anak gadis telah bertemu calon suaminya. Kalau dilambatkan buruk padahnya.

Kita boleh buat satu kesimpulan, Cinta kerana-Nya hanya akan hadir selepas kahwin. Sebelum kahwin, andai terbit rasa Cinta antara dua orang, mereka perlu segera dijodohkan. Bukan senang nak bermujahadah apabila hati sudah terpaut pada seseorang. Lagipun, cepat berkahwin akan mengurangkan maksiat hati yang dilakukan sepanjang percintaan. Maka, syariat tetap terpelihara. Barulah Cinta-Nya tidaks sirna dari hatinya”

Dalam satu hadis riwayat Hakim Khatib, Ibn Asakir, Dailami & lain-lain, Rasulullah (shalallahu ‘alaihi wasallam) bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang asyik kepada sesuatu lalu cuba menjauhkannya atau melupakannya, lalu menyembunyikan di dalam hatinya, kemudian dia mati maka matinya adalah mati syahid”

Jatuh Cinta itu tidak salah, asyik bercinta itu yang salah. Perasaan jatuh Cinta anugerah-Nya. Tapi kalau rasa ia boleh melalaikan tentu ada perbuatan-perbuatan yang salah, yang Allah Ta’ala tidak redhai. Muhasabah balik. Sentiasalah berdoa kepada-Nya agar memelihara perasaan Cinta itu sebagaimana yang Dia kehendaki, yang tidak menjauhkan seseorang dari-Nya. Allah Ta’ala Maha Penyayang.

Praktikalnya?

Tidak salah kalau seseorang itu tetap sayangkan orang yang dia minati. Diyakini, orang itu pun sudah tentu amat mengharapkannya. Cuma kikislah keaiban-keaiban Cinta seperti hari-hari bergayut di telefon & lain-lain. Perbuatan-perbuatan ini yang salah bukan perasaan jatuh Cinta itu. Mujahadalah secara perlahan-lahan & penuh kerelaan kerana takut dan cintakan-Nya. Orang beriman utamakan kebenaran-Nya dalam hidupnya.

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-kutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)”

[Al-Baqarah 2:165]

Justeru, seseorang itu perlukan masa untuk mengubah situasi sedia ada. Jangan mengubahnya secara mendadak bimbang nanti tidak istiqomah mengubahnya. Waktu sekarang ini, fikirkan peranan & tanggungjawab sebagai seorang hamba-Nya yang nak memenangi redha Ilahi, pelajar yang nak cemerlang dalam pelajarannya & anak yang mahukan restu ibubapanya. Tanggungjawab ini semua perlukan komitmen yang bukan sedikit. Jangan biarkan ia terabai kerana seungkap nama lelaki yang bukan bergelar suami.

“Lelaki penzina tidak layak berkahwin kecuali dengan perempuan yang penzina, atau perempuan yang musyrik dan perempuan yang penzina tidak layak dikahwini, kecuali oleh lelaki yang penzina atau lelaki yang musyrik dan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman”

[An-Nuur:3]

wallahua'lam..

selawat~