Friday, December 13, 2013

Ahmad Ammar dalam kenangan


Biodata Ahmad Ammar Dan Perjalanan Hidup Hingga Disemadikan | Subhanallah, Walhamdulillah, Allahu Akhbar. Siapa yang tidak kenal dengan anak muda yang bernama Ahmad Ammar Ahmad Azam ni. Seorang remaja anak jati Malaysia yang meninggal pada 2 November lalu.

Ahmad Ammar Ahmad Azam pelajar Malaysia dimuliakan di Turki. Dilaman Sosial, video kenangan Ahmad Ammar menjadi perkongsian sehinggakan individu boleh sebak dan mengalirkan air mata jika menonton kisah perjalanan pemuda yang berusia 20 tahun itu.


Ahmad Ammar telah pun meninggal dunia pada 2 November 2013 jam 1.30 petang akibat dilanggar ambulan ketika melintas jalan di Istanbul, Turki. Jenazah Ahmad Ammar dimuliakan di Turki kerana beliau merupakan pemuda yang banyak berjasa kepada masyarakat dan juga dalam ilmu agama dan aktif dalam berdakwah. Selain itu, pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia seperti di Syria dan sebagainya. Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid dalam kehidupannya. Namun, kematiannya akibat kemalangan jalan raya pada 2 November lalu telah menyebabkan beliau digelar sebagai “Syahid yang tertangguh” oleh para sahabatnya.

Biodata Ahmad Ammar Ahmaz Azam

Ahmad Ammar Ahmad Azam yang berusia 20 tahun merupakan pelajar cemerlang tahun dua bidang sejarah di Marmara University (Goztepe) Istanbul. Ahmad Ammar telah kembali ke rahmatullah pada petang Sabtu 2 November 2013 akibat kemalangan jalan raya. Beliau merupakan anak keempat dan satu-satunya anak lelaki Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman, mantan Presiden ABIM. Beliau juga merupakan pelajar cemerlang SPM 2010 di Maktab Tentera Diraja dan memilih menyambung pengajian dalam bidang Sejarah di Turki.

Pada umur yang masih muda, Ahmad Ammar telah mengembara banyak tempat untuk menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mencurah bakti untuk kesejahteraan ummah tanpa mengira bangsa dan agama. Selain itu, beliau juga telah menjadi sukarelawan untuk menyertai misi kemanusiaan seperti di negara Syria. Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid ketika menyertai misi kemanusiaan. Selain itu, Ahmad Ammar amat dikenali kerana mempunyai budi pekerti yang baik, tekun, berdisiplin, taat, bercita-cita tinggi dan sikap hormatnya kepada yang lebih dewasa. Ahmad Ahmad juga dihormati sebagai seorang yang kuat ilmu agama dan aktif dalam dakwah memperjuangkan agama Islam.

Allahyarham Ahmad Ammar disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan ini menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana. Namun Datuk Bandar telah memberi pengecualian kepada Ammar hingga allahyarham menjadi orang Malaysia pertama disemadikan di sini. Malah begitu ramai orang termasuk masyarakat setempat selain rakan satu universiti yang hadir ketika allahyarham disolatkan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul seterusnya mengiringi jenazah Ammar ke kubur.

Catatan Dari Wall Puan Nur Azlina, Ibu Ammar

Aku ingin menjadi “SEJARAWAN PERANTAU”…

Semasa membelek catatan-catatan tulisan tangan anakanda Ahmad Ammar di dalam buku-buku notanya yang saya & ayahandanya bawa pulang tempoh hari, terjumpa catatan tentang visi & misi beliau:

“1) Akan menziarah serta mengkaji ketamadunan & kekayaan Sejarah Bangsa, Negara Turki & kerajaan-kerajaan yang pernah diasaskan oleh mereka.”…ingin menjadi SEJARAWAN PERANTAU.

2) Meskipun tumpuan 100% kpd penguasaan akademik, tumpuan kpd ilmu rohani & agama tidak boleh diabaikan. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan ketenangan jiwa, hubungan dengan Sang Pencipta dikekalkan, Risalah An-Nur tulisan Ustaz Badiuzzaman Said Nursi adalah penawar terbaik untuk semua ini.
Maka, jika aku berjaya memahami dan menguasai kitab RISALAH AN-NUR, aku akan cuba menyebarkannya ke setiap negara yg akan aku pergi di samping melakukan kajian sejarah.”

“Ya, sesungguhnya untuk mencapai kedua-dua matlamat ini, aku sudah tiada masa utk berlengah-lengah & berehat, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dengan mengaplikasikan gerak-kerja harian aku kepada tindakan tanpa gagal.”

Al-fatihah... Semoga perjuangan beliau menjadi ikutan kita semua.

No comments:

Post a Comment