Friday, September 7, 2012

Titian istiqamah

Titian istiqamah itu bukan mudah diharungi. Walaupun luas perjalanannya hanya sekangkang kera tapi pandangan kita menjadi kabur tatkala singgah di pertengahan jalan. Objektif dan niat itu sudah sudah ditetapkan namun dek kerana sekatan-sekatan yang menggoda, kita tewas tanpa sempat mencuba.
Kondisi fizikal yang dikuasai nafsu seringkali dapat menewaskan kehendak fitrah nurani di jiwa ibarat memecahkan kacang, sungguh mudah. Sedangkan yang dikejar itu baik, mengapa diuji hingga sebegini rupa?
Begitu halnya yang dapat dititipkan dalam mukadimah di atas tentang istiqamah. Suatu proses didikan hati untuk berikhlas, melibatkan lambakan perasaan yang tiada penghujung. Mendepani hiba, sengsara, derita, sedih dan kecewa semata-semata untuk menggapai keikhlasan dalam beramal untuk Tuhan Yang Esa, Allah Yang Murah dengan pemberian-Nya. Hanya Mukmin yang betul-betul bertakwa akan berjaya memilikinya. Beruntunglah bagi mereka.
Bagaimana dengan kita?
Ikhlas itu membawa manusia menyelusuri jalan hidayah. Destinasi yang dituju penuh dengan limpahan kebenaran hidup. Di situ segala kekusutan dan permasalahan akan terungkai dengan taufik yang dibekal oleh kemantapan iman. Namun hendak mengecapnya cukup payah, kita mendepani keremukan perasaan, mungkin kerana rasa tidak dihargai, tidak dimengerti mahupun dipinggir dan disisihkan. Maka kita susah untuk ikhlas kerana itu ikhlas itu bermaksud beramal semata-mata kerana Allah.
Manusia harus akui, kita sering cuba menarik perhatian orang lain tumpu pada kita. Mengakui kebolehan ataupun bakat yang kita ada. Menjadi orang yang dikagumi dan disanjungi mereka. Betul tak? Ya. Kita sering mengharapkan pandangan tinggi daripada mereka. Kata-kata pujian mereka. Malangnya bukan selalu kehendak itu akan dipenuhi. Acap kali simptom ini mengakibatkan kekecewaan dan derita yang berpanjangan. Kerana apa?
Andai kita mengharapkan kasih manusia mungkin saban tahun ia berubah menjadi benci. Kalau kita mencari kecintaan daripada manusia mungkin cinta tidak terbalas. Sekiranya kita mengharapkan penghargaan daripada manusia mungkin siapa jamin ia dapat bertahan lama.Akhirnya kita yang menjadi tidak keruan. Jangan salahkan sesiapa derita kekecewaan yang kita dapat kerana kita yang mencari nahas. Mengapa cari yang tidak kekal sedangkan Allah itu ada?
Kerana itu pentingnya ikhlas yang dianjurkan Islam. Suatu pekerjaan dan amalan bersandarkan semata-mata mengharapkan perhatian, rahmat, pertolongan, kebahagian dan keredhaan daripada Allah! Itulah ikhlas. Mana mungkin Allah membiarkan hamba-hamba-Nya bersendirian.
Limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa di sisi cuma jarang manusia sedari. Kehidupan itu juga satu lambang daripada kasih sayang-Nya. Walaupun beronak duri dan berliku-liku tapi alhamdulillah kita diberi satu kehidupan untuk mengecap kehidupan yang lebih baik di akhirat sana. Cuma perlukan sedikit usaha dan tekad. Sedihnya banyak yang menyesal diberi kehidupan hingga sanggup mati daripada hidup. Na'uzubillah min zalik...
Maka bulatkan hati hanya untuk Allah. Kita telah kufur apabila terasa berat untuk menerima cubaan yang dihidangkan oleh Allah ini dalam kehidupan. Kerana apa? Kerana sungguh jelas manusia yang suka merungut dengan kehidupannya itu melebihkan cintanya kepada dunia berbanding cinta kepada penciptanya sendiri. Itulah ciri-ciri orang munafik.
Kesimpulannya, sentiasalah mengkoreksi diri dan bermuhasabah. Siapalah kita untuk meminta yang bukan hak kita. Bersyukurlah dengan segala yang ada dan ikhlaskan diri untuk menerimanya takdir yang telah tertulis.
Wallahu Ta'ala A'lam

No comments: